18 Disember 2009

Ar-Rahnu dirompak tiada polisi insurans

KANGAR: Pajak gadai Islam Ar-Rahnu yang dirompak sekumpulan penyamun membabitkan kerugian kira-kira RM8 juta baru-baru ini tidak memiliki sebarang polisi perlindungan insurans.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam negeri, Jafperi Othaman, berkata pihaknya mengakui pajak gadai Islam milik Yayasan Islam Perlis (YIPs) itu tidak diinsuranskan, tetapi tidak bermakna ia mengabaikan aspek keselamatan.

Katanya, pihak pengurusan pajak gadai di Taman Sena, di sini itu, tidak mendapatkan polisi perlindungan dari mana-mana syarikat insurans disebabkan bayaran perkhidmatan dikenakan adalah tinggi.


“Kadar dikenakan syarikat insurans bagi melindungi barang kemas bernilai RM2.5 juta adalah tinggi, iaitu RM40,000 sebulan atau RM480,000 setahun, sedangkan keuntungan Ar-Rahnu sekitar RM400,000 setahun,” katanya pada sesi pembahasan Bajet 2010 Perlis pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam.

Jafperi berkata, pihak pengurusan Ar-Rahnu sudah mengambil langkah keselamatan tinggi dan canggih, termasuk mewujudkan sistem infa-red, kamera video tertutup (CCTV) dan alat penggera yang disambung ke balai polis berhampiran.

Jelasnya, berdasarkan siasatan dalaman, jumlah kerugian ditanggung YIPs berikutan rompakan itu tidak setinggi dilaporkan kerana sebahagian daripada barang kemas berkenaan bakal dilelong mengikut prosedur dipersetujui dengan penggadai.

“Sebenarnya pengurusan Ar-Rahnu sedang mencari pembeli untuk melelong sebahagian barang kemas itu sebelum dirompak dan kerugian atau ganti rugi ditanggung YIPs hanya berdasarkan nilai semasa barangan kemas milik penggadai,” katanya.

Katanya, YIPs akan bertanggungjawab sepenuhnya dan memutuskan membayar ganti rugi kepada semua penggadai, tetapi terma bayarannya bergantung kepada keputusan lembaga pengarah yayasan nanti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan