23 Disember 2009

Sangat wajar di hukum sebat 100 rotan


Oleh Hamid Salleh
bhkt@bharian.com.my

Pelajar curi keluar jumpa kekasih mengaku selalu berzina

KUALA TERENGGANU: Selepas beberapa kali mengadakan hubungan seks dengan teman lelakinya, kegiatan remaja berusia 15 tahun di Kampung Nyiur Tujuh, Besut, dihidu keluarga kerana pulang ke rumah pada awal pagi, Khamis lalu.

Selepas ditangkap keluarganya ketika menyelinap masuk ke rumah pada dinihari, pelajar Tingkatan Tiga terbabit tidak dapat berselindung lalu mengaku sudah terlanjur.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamarudin Mohd Zakaria, berkata mangsa ke Balai Polis Kampung Raja, Besut membuat laporan kejadian itu, jam 9.30 malam, kelmarin.


Katanya, kejadian pertama berlaku di bilik rumah mangsa, di taman perumahan kos rendah di Nyiur Tujuh jam 3.30 pagi pada 15 Disember lalu.

Kamaruddin berkata, mangsa selalu keluar rumah melalui pintu belakang, termasuk pada kejadian kira-kira jam 2 pagi, 17 Disember lalu untuk bertemu teman lelaki sebelum membonceng motosikal ke kedai makan di Jalan Kampung Lampu, Kampung Raja.

Beliau berkata, mereka mengadakan hubungan sex di kedai makan itu sebelum dihantar pulang.

Kamaruddin berkata, suspek berusia 19 tahun sudah dikenal pasti dan usaha mencarinya sedang dijalankan.

Katanya, mangsa dihantar untuk membuat pemeriksaan lanjut di Hospital Universiti Sains Malaysia di Kubang Krian, Kelantan.


Dari apa yang dipaparkan diatas, jelas yang sigadis adalah pesalah pertama, akibat kegatalannya, dia sanggup keluar rumah ikut pintu belakang jam 2.00 pagi.

Tetapi mengikut undang-undang sivil kita, pesalah pertama adalah silelaki itu kerana mengadakan hubungan sex dengan gadis bawah umur, dan jika didakwa boleh dihukum penjara atas kesalahan merogol.

Biasanya si gadis akan terlepas, kerana masih bawah umur, kalau sudah melepasi umur 18 tahun, dua-dua akan terlepas................

22 Disember 2009

Kebaikan seks selepas bersalin.





AMALAN di kalangan wanita di Kelantan, mereka lazimnya tidak melakukan hubungan kelamin untuk selama 100 hari selepas bersalin. Apabila ditanya kenapa, tidak ada jawapan yang khusus, ia hanya amalan turun temurun daripada emak kepada anak.

Walaupun tidak ada hubungan kelamin, mereka masih tidur bersama suami. Kecekalan serta daya tahan ini memerlukan dedikasi yang padu. Dari segi perancangan keluarga, amalan ini memberangsangkan.

Kelahiran

Lain bangsa lain pula amalan mereka. Tidak ada bukti kenapa setiap amalan diperlakukan. Walaubagaimanapun, tempoh yang diamalkan ini boleh dikatakan bagus kerana wanita sempat mengembalikan kecergasan fizikal selepas kepenatan bersalin serta mengandung selama 40 minggu.

Suami sepatutnya lebih arif serta memahami tugas serta tanggungjawab baru sebagai seorang bapa. Hubungan suami isteri bukanlah hanya hubungan kelamin semata-mata, ia lebih dari itu!

Walaupun hubungan kelamin semasa mengandung kerap serta aktif dan menyeronokkan tetapi lain pula selepas bersalin. Hubungan kelamin bukanlah agenda utama untuk beberapa julat masa akan datang selepas ketibaan ahli keluarga baru.

Proses kelahiran merupakan proses fizikal yang meletihkan. Bayangkan isteri terpaksa menahan kesakitan serta kontraksi rahim untuk berjam-jam lamanya sama seperti pelari marathon semasa Sukan Olimpik! Tentulah isteri akan keletihan serta kelesuan, apatah lagi apabila diberi ubat penahan sakit jenis narkotik semasa proses kelahiran.

Kemuncak emosi berlaku apabila ibu melihat bayi yang dilahirkan sihat serta selamat.

Badan ibu akan mengambil masa untuk pulih kembali, terutamanya selepas mengalami perubahan hormon semasa mengandung. Adaptasi serta fokus isteri sekarang sebagai seorang ibu mula menampakkan keanggunan seorang wanita.

Tempoh selepas bersalin dikenali sebagai ‘postpartum’, kehadiran si sayang baru menambahkan lagi keberkesanan perhubungan serta komunikasi.

Kemaskini cara berkomunikasi suami dan isteri sebelum agenda hubungan kelamin bermula. Suami tentu dan perlu memahami akan tanggungjawab masing-masing terhadap si kecil dan juga sesama sendiri.

Keinginan

Kerana kesibukan tanggungjawab baru, mungkin isteri terlupa akan hubungan kelamin. Ada doktor yang menasihati supaya berehat dari hubungan kelamin selama 6 minggu, namun nasihat ini sebenarnya tidak ada bukti kukuh.

Ada doktor yang nasihatkan supaya berehat di antara 3 hingga 6 minggu, bergantung kepada:

* Berhentinya darah dan juga discaj selepas bersalin.

* Penyembuhan luka dari episiotomi di faraj semasa proses kelahiran

* Penyembuhan dari pembedahan caesarean

Sebab-sebab lain yang menyebabkan keinginan hubungan kelamin menurun selepas bersalin termasuklah:

* Keletihan dan kelesuan dari tanggungjawab baru kerana setiap kelahiran merupakan pengalaman baru. Banyakkan meminum air serta mengambil makanan yang berkhasiat. Senaman ringkas khas untuk mereka selepas bersalin juga boleh mengurangkan ketegangan.

* Ketegangan dan rasa tidak selesa, mungkin juga kesakitan dari tempat jahitan episiotomi dan juga di abdomen dari kelahiran caesarean.

* Menyusu badan menyebabkan cairan lubrikasi di faraj menurun, jadi faraj menjadi kering dan hubungan kelamin jadi menyakitkan. Ada banyak cecair pelincir yang boleh didapati di farmasi untuk mengelakkan kekeringan.

* Anggapan bentuk badan sekarang tidak menarik, berat badan bertambah dan kulit pula menampakkan belang-belang di bahagian abdomen (selalu berlaku di kalangan orang Malaysia kerana mempunyai pigmen warna kulit yang lebih).

* Cemas dan was-was tentang peranan sebagai ibu, apatah lagi melihat si comel yang begitu lemah serta sensitif.

* Fokus terganggu dengan bunyi tangisan si comel, langsung mengganggu aktiviti kelamin.

Suami juga dipengaruhi oleh faktor-faktor sama dengan para ibu dan mereka mungkin tidak bersyahwat dan langsung tidak berupaya untuk hubungan kelamin. Jangan bimbang, sama-samalah berbincang dan hadapi setiap hari bersama.

Termengandung?

Isteri serta suami mungkin tidak bersedia untuk seorang lagi si comel untuk masa sekarang. Sekiranya ibu menyusu badan secara 100 peratus (tidak mengamalkan susu formula), proses ovulasi mungkin berlaku selepas 3 bulan.

Tetapi, sekiranya pengenalan susu formula dilakukan bertindih dengan penyusuan badan, ovulasi mungkin berlaku selepas 3 minggu.

Jadi, berbincanglah antara suami isteri akan kaedah kontraseptif terbaik.

Berjumlah dan minta nasihat doktor atau jururawat semasa lawatan susulan bayi.

Kondom merupakan kaedah perancang keluarga terbaik untuk peringkat ini kerana ibu masih menyusu badan. Sekiranya ibu yang menerajui kontraseptif, pil yang mengandungi progesteron sahaja yang terbaik kerna ianya tidak mengurangkan jumlah susu.

Untuk alat dalam rahim, pastikan dahulu yang saiz rahim telah kembali ke saiz sebelum mengandung.

Hubungan kelamin mempunyai kebaikannya sendiri. Hormon yang dikeluarkan boleh mencepatkan lagi proses penyembuhan setelah bersalin. Begitulah juga dengan penyusuan badan. Rahim akan cepat ke saiz asal. Sekiranya penyusuan badan tidak diamalkan 100 peratus, kitaran haid ibu mungkin kembali pada minggu keempat.

Secara langsung, mungkin diamati sebagai darah dari proses bersalin yang tidak lagi berhenti dan tiba-tiba jumlahnya banyak dari biasa. Ingat, penyusuan badan merendahkan hormon estrogen wanita dari ovari. Ini akan menyebabkan suasana dalaman faraj kering.

Jadi sekiranya hubungan kelamin dilangsungkan, pastikan cecair pelincir digunakan. Mungkin juga isteri serta suami boleh melambatkan hubungan zakar-faraj dengan meningkatkan tempoh sentuh menyentuh atau cumbuan.

Perubahan

Mungkin para ibu mengamati yang garis pusat faraj serta kontraksi otot-otot di sekitarnya tidak sebagaimana sebelum bersalin. Jangan runsing, dengan penyusuan badan serta latihan senaman khusus di bahagian pinggul dan perineum akan mengembalikan struktur asal dengan lebih berkesan. Sekiranya tidak berpuas hati, berjumpalah dengan doktor untuk nasihat.

Untuk seketika selepas bersalin, disebabkan paras hormon wanita estrogen serta progesteron jatuh dengan pantas, para ibu akan mengalami keadaan seakan-akan ‘menopaus’ terutamanya pada kawasan sekitar faraj. Tahap pH faraj akan meningkat dan sel-sel yang melindungi faraj dari irritasi berkurangan, menyebabkan ibu terdedah kepada gangguan serta iritasi dari sabun ataupun cecair pencuci faraj.

Jangkitan pada faraj pada waktu ini mudah berlaku, apatah lagi dengan kehadiran darah dan juga discaj. Jadi, berhati-hatilah dengan dengan produk pelincir yang digunakan, ataupun jenis-jenis kondom yang digunakan.

Penjagaan perineum juga amat penting selepas kelahiran. Perineum adalah bahagian tubuh puan di antara faraj dan dubur. Pastikan kawasan tersebut bersih dan kering. Ini meningkatkan lagi proses penyembuhan. basuh tangan setiap kali puan menukar tuala wanita.

Keringkan dengan menyapu dari depan ke belakang, supaya kuman dari bahagian dubur tidak merebak. Jahitan episiotomi, biasanya akan hilang dalam masa dua minggu.

Emosi

Ada juga di kalangan ibu-ibu yang mengalami perubahan emosi selepas bersalin. Ini juga menyukarkan perhubungan kelamin sekiranya aktiviti ini ingin dimulakan. Kemurungan ini akan dibebankan lagi dengan tanggungjawab baru sebagai seorang ibu, perubahan masa serta perubahan perhubungan di antara suami serta si comel.

Perasaan juga terganggu dengan perubahan hormon yang berlaku pada badan ibu.

Adalah tidak janggal untuk ibu berasa cemas, kurang tidur, rasa keresahan serta kemurungan, kadang-kala mungkin menangis, sedih dan mudah terguris. Suami harus memahami perubahan yang dilalui oleh isteri. Semua ini normal sekiranya berlaku dalam tempoh dua minggu dan akan segera hilang apabila penyesuaian dengan persekitaran baru berlaku.

Tetapi sekiranya berterusan, segera berbincang dengan doktor!






20 Disember 2009

Dasar Pakatan Rakyat Gugat Keselesaan BN?


'DUNIA baru' seperti yang digambarkan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ekoran permuafakatan gabungan tiga parti pembangkang paling berpengaruh iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR), PAS dan DAP seakan baru menjanjikan kerlipan untuk mewarnai arena politik di Malaysia.

Gabungan yang dikenali sebagai Pakatan Rakyat (PR) dibina atas dasar persefahaman politik kira-kira 20 bulan lalu selepas pilihan raya umum 2008, kini dilihat semakin dewasa terutama selepas berakhirnya Konvensyen Pakatan Rakyat yang pertama semalam.

Walaupun entiti politik kedua terbesar itu dibina secara tidak rasmi, namun kewujudannya sudah dirasai terutamanya bagi menggugat kedudukan Barisan Nasional (BN) yang sudah sekian lama mentadbir negara ini dengan begitu selesa.

Nampaknya gambaran 'dunia baru' oleh Nik Aziz semasa menyampaikan ucapan penggulungannya semalam di hadapan kira-kira 1,500 perwakilan bukan satu kiasan biasa yang kosong tanpa maksud tersirat.

"Saya tengok dengan mata saya sendiri hari ini, saya rasa seperti berada dalam dunia baru... dunia yang sesuai dengan pendirian saya, dengan akidah dan agama saya," katanya.

Penantian sekian lama banyak pihak mengenai sejauh mana ikhlasnya permuafakatan yang terbina antara PKR-PAS-DAP akhirnya terjawab dengan lahirnya dokumen Dasar Pakatan Rakyat yang dipersetujui secara sebulat suara.

Pada akhir konvensyen semalam, semua perwakilan yang hadir mengangkat tangan tanda setuju menerima kandungan dasar empat perkara penting yang menjadi asas kepada pembentukan PR.

Secara simboliknya, Ketua Umum PR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden PAS, Datuk Seri Abdul hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Guan Eng menandatangi dokumen bersejarah berkenaan tanda persefahaman.

Persoalannya adakah dengan pengukuhan PR bersandarkan Dasar Pakatan Rakyat yang ditandatangani itu membawa maksud akan berakhirnya hegemoni politik yang dikuasai BN di Malaysia?

Mampukah tsunami politik yang melanda negara pada 2008 berulang lagi pada pilihan raya umum akan datang dengan kesan pukulan yang lebih dahsyat?

Bagaimanapun setelah mengikuti keseluruhan konvensyen PR semalam, dapat disimpulkan bahawa jurang pemikiran antara barisan pimpinan dan perwakilan yang menyertai perbahasan begitu ketara terutamanya dalam menentukan hala tuju mereka.

Di atas kertas, empat dasar yang dipersetujui itu digariskan dengan agak jelas walaupun tanpa perincian, namun sebahagian besar daripada 18 pembahas masih lagi terikat dengan pemikiran yang sedikit terbelakang kerana menggunakan pentas sulung konvensyen berkenaan sebagai medan untuk 'menghentam' BN dan Umno.

Sepatutnya pembahas dari setiap parti komponen menggunakan peluang yang ada untuk mengemukakan pandangan atau kritikan mengenai mekanisme pelaksanaan dasar berkenaan yang masih kabur.

Mungkin keterujaan berbahas kali pertama di atas satu pentas yang sama sebagai satu gabungan membuatkan mereka hilang fokus sebenar konvensyen itu diadakan.

Perkara pokok yang terkandung dalam dasar berkenaan ialah PR akan tetap mempertahankan Pelembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama rasmi bagi Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman.

Selain itu, PR juga akan tetap melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera serta kepentingan kaum-kaum lain di negara ini sejajar dengan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dan memartabatkan bahasa Melayu selari dengan perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Jika diteliti kandungannya secara terperinci, ternyata mereka masih berpegang teguh kepada prinsip utama kandungan Perlembagaan Persekutuan.

Malah Anwar turut mengakui bahawa kesemua elemen yang terkandung dalam dasar berkenaan tetap berpegang kepada prinsip yang terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Kita sekadar ulangi prinsip Perlembagaan yang umum, itu kita lakukan dulu dan kemudian kita mantapkan.

"Tapi kenyataannya sekarang ialah adanya perjanjian baru dalam sejarah Malaysia iaitu dengan lahirnya generasi yang telah matang," katanya semalam.

Bagi situasi ini, tentunya terdapat antara komponen PR yang terpaksa 'pejam mata' mengenai beberapa dasar terutamanya apabila melibatkan isu bahasa dan agama Islam.

Namun atas dasar penyatuan matlamat politik yang sama, banyak pengorbanan perlu dilakukan walaupun masing-masing mempunyai agenda dan dasar pejuangan politik yang berbeza.

'Pengorbanan' pertama yang turut mencuri tumpuan pada konvensyen semalam ialah apabila Pengerusi DAP, Karpal Singh sanggup duduk bersebelahan Nik Abdul Aziz.

Malah Karpal sendiri dalam ucapannya secara berseloloh berkata beliau tidak mempunyai masalah untuk bersama Menteri Besar Kelantan itu bagi merealisasikan hasrat bersama dalam PR.

"Apa masalah? Tidak ada apa-apa masalah, bukan sahaja saya duduk sebelah Tuan Guru Nik Aziz, tapi pertengahan (antara) Nik Aziz dan Tuan Guru Hadi," katanya sambil disambut dengan tepukan gemuruh perwakilan.

Jelas sekali pengorbanan Karpal itu akan memberi tamparan hebat kepada BN kerana PR akan melakukan apa sahaja untuk meraih sokongan rakyat bagi memenangi pilihan raya umum ke-13 nanti.

Mungkin juga 'dunia baru' yang digambarkan Nik Abdul Aziz semalam ada kaitan dengan hubungan sesama mereka dalam PR dan seterusnya melupakan segala persengketaan yang wujud demi mencapai satu hasrat bagi 'menawan' Putrajaya.

18 Disember 2009

Ekonomi terbuka Najib dikritik Jomo



PETALING JAYA, 18 Dis: Ahli ekonomi terkemuka KS jomo secara tidak langsung mengkritik dasar ekonomi terbuka yang mula diperkenalkan kerajaan Barisan Nasional di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Jomo yang kini bertugas sebagai penolong setiausaha agung bagi pembangunan ekonomi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu
(PBB) berkata dasar ekonomi terbuka yang membolehkan liberalisasi kewangan negara tidak menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara kini.

Sebaliknya beliau menjelaskan dasar ekonomi tersebut hanya menyumbang kepada peningkatan harga pasaran saham dan hartanah
yang boleh melambung tinggi dan kemudiannya merudum secara tiba-tiba.

Jomo berkata sedemikian semasa memberi syarahan yang bertajuk “adakah malaysia menggambil iktibar dari kesan krisis ekonomi yang lepas”, yang berlangsung di Hotel Singgahsana di sini malam semalam.

Program tersebut dianggarkan dihadiri seramai 200 orang. Ia dianjurkan oleh Gerak Budaya dan Pusat Maklumat Strategik dan Pembangunan Penyelidikan (SIRD). Penganjur bersama adalah Youth4 Change.

Jomo berkata dasar tersebut mungkin disokong oleh golongan berpendapatan kelas pertengahan yang melabur di dalam pasaran saham tetapi menurutnya dasar tersebut tidak menyumbang kepada “ekonomi sebenar”.

Beliau memberi contoh kejayaan syarikat-syarikat tempatan dalam memproses minyak sawit mentah kepada minyak sawit yang telah ditapis sebagai satu kejayaan yang menyumbang kepada ekonomi
sebenar negara ini.

Katanya lagi, minyak sawit untuk kegunaan memasak keluaran Malaysia kini tidak “menyebabkan siling dapur berjelaga”.

“Inilah contoh-contoh kejayaan kejuruteraan Malaysia membawa perubahan kepada ekonomi (sebenar),” tambahnya lagi.

Jomo berkata perubahan ke arah dasar ekonomi terbuka kini adalah hasil kerja para pelobi yang bergerak aktif diperingkat
antarabangsa.

Katanya usaha-usaha tersebut amat giat dijalankan sehingga dasar-dasar yang bertujuan untuk melindungi kepentingan negara seperti yang telah diamalkan semasa pemerintahan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad “dicampak begitu
sahaja”.

“Perkara-perkara seperti ini jarang-jarang sekali didebatkan di parlimen,”katanya.

Jomo juga membangkitkan kecenderungan kerajaan di bawah pimpinan Najib untuk bergantung kepada pengunaan dan perbelanjaan sebagai enjin pertumbuhan ekonomi sebagai “satu strategik yang tidak ampuh”.

Katanya kecenderungan tersebut akan menjadikan impian negara untuk menjadi negara maju menjelang 2020 akan terpaksa
ditangguh “sekurang-kurangnya selama satu dekad lagi”.

Di antara perubahan dasar ekonomi yang diperkenalkan Najib adalah liberalisasi 27 subsektor dan sektor kewangan, pengeluaran lesen bank-bank komersil baharu untuk rakyat asing menyertai sektor kewangan negara, pertumbuhan kewangan Islam, serta memansuhkan garis panduan Jawatankuasa Pelaburan Asing (FIC) membabitkan ekuiti Bumiputera.

Dasar ekonomi terbukanya juga dijangka mengurangkan pemilikan ekuiti bumiputra dari paras 18 peratus sekarang kepada
sekitar hanya 12 peratus.

Sementara itu pemilikan ekuiti di kalangan pihak asing dijangka meninggkat sehingga 70 peratus.

Ar-Rahnu dirompak tiada polisi insurans

KANGAR: Pajak gadai Islam Ar-Rahnu yang dirompak sekumpulan penyamun membabitkan kerugian kira-kira RM8 juta baru-baru ini tidak memiliki sebarang polisi perlindungan insurans.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam negeri, Jafperi Othaman, berkata pihaknya mengakui pajak gadai Islam milik Yayasan Islam Perlis (YIPs) itu tidak diinsuranskan, tetapi tidak bermakna ia mengabaikan aspek keselamatan.

Katanya, pihak pengurusan pajak gadai di Taman Sena, di sini itu, tidak mendapatkan polisi perlindungan dari mana-mana syarikat insurans disebabkan bayaran perkhidmatan dikenakan adalah tinggi.


“Kadar dikenakan syarikat insurans bagi melindungi barang kemas bernilai RM2.5 juta adalah tinggi, iaitu RM40,000 sebulan atau RM480,000 setahun, sedangkan keuntungan Ar-Rahnu sekitar RM400,000 setahun,” katanya pada sesi pembahasan Bajet 2010 Perlis pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam.

Jafperi berkata, pihak pengurusan Ar-Rahnu sudah mengambil langkah keselamatan tinggi dan canggih, termasuk mewujudkan sistem infa-red, kamera video tertutup (CCTV) dan alat penggera yang disambung ke balai polis berhampiran.

Jelasnya, berdasarkan siasatan dalaman, jumlah kerugian ditanggung YIPs berikutan rompakan itu tidak setinggi dilaporkan kerana sebahagian daripada barang kemas berkenaan bakal dilelong mengikut prosedur dipersetujui dengan penggadai.

“Sebenarnya pengurusan Ar-Rahnu sedang mencari pembeli untuk melelong sebahagian barang kemas itu sebelum dirompak dan kerugian atau ganti rugi ditanggung YIPs hanya berdasarkan nilai semasa barangan kemas milik penggadai,” katanya.

Katanya, YIPs akan bertanggungjawab sepenuhnya dan memutuskan membayar ganti rugi kepada semua penggadai, tetapi terma bayarannya bergantung kepada keputusan lembaga pengarah yayasan nanti.

14 Disember 2009

Kurangkan untung IPP sebelum naikkan tarif elektrik

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) sekali lagi mengulangi gesaan kepada kerajaan supaya mengkaji semula Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) dengan Pengeluar Tenaga Bebas (IPP) sebagai ganti menaikkan tarif elekrtik.

Premis bagi mengkaji semula PPA adalah mudah. IPP menghasilkan keuntungan berlebihan yang ditanggung oleh pihak industri dan pengguna Malaysia, dan mereka kini diminta untuk memotong lebihan itu bagi manfaat negara keseluruhan.

Keuntungan berlebihan dikumpulkan melalui peraturan yang melihat banyak IPP mendapat manfaat dalam persekitaran risiko yang hampir sifar atau amat minimum. Bayangkan, dilindungi daripada risiko sejak daripada pembinaan sehinggalah kepada peringkat operasi serta dalam pembiayaan projek.

Kontrak Kejuruteraan, Pemerolehan dan Pembinaan (EPC) menjaga risiko dalam kenaikan harga, kelewatan pembinaan, dan tukaran asing manakala penalti seperti kegagalan untuk memenuhi tarikh siap dan bagi pelaksanaan yang tidak memenuhi piawaian distrukturkan dalam perjanjian O & M dengan pihak OEM (Pengeluar Peralatan Asal).

Sebagai tambahan, hampir semua pinjaman IPP adalah dalam mata wang ringgit. Jika IPP boleh membuat keuntungan yang begitu besar dengan hampir tiada risiko yang terlibat, mereka seharusnya memberikan kembali kepada orang ramai melalui kajian semula PPA.

Lebihan kapasiti punca mahal

IPP membelakangkan isu sebenar mengenai lebihan kapasiti memandangkan kapasiti lebihan sebenarnya amat mahal untuk ditanggung oleh pengguna. Ini adalah hasil langsung daripada kapasiti bayaran yang amat tinggi yang terpaksa dibayar oleh TNB bagi kapasiti yang dibina oleh IPP.

Malah IPP terus mendiamkan diri mengenai kadar dan pulangan mereka dan enggan untuk memberitahu harga yang tinggi dibayar oleh TNB dan keuntungan yang besar yang dinikmati oleh IPP adalah sebahagian besarnya hasil daripada anggaran konservatif oleh IPP yang dibuat dan dibentangkan pada masa menandatangani PPA.

Kos projek salah satu IPP baru lebih rendah berbanding kos yang digunakan dalam menentukan kadar kapasiti IPP. Perbezaannya adalah dianggarkan RM1 bilion. Ini membawa kepada kapasiti bayaran yang jauh daripada menggambarkan kos sebenar yang ditanggung oleh IPP dalam memajukan loji mereka.

Ini bermakna IPP dibayar berlebihan dan memperolehi semula lebih daripada apa yang mereka laburkan. Berdasarkan kepada kesan langsung kos berkaitan IPP terhadap tariff pengguna TNB, ini adalah satu ketidakadilan kepada pengguna elektrik Malaysia dan usaha mestilah dibuat untuk memperbetulkannya melalui kajian semula PPA.

Kajian semula PPA bawah keadaan ini bukanlah sesuatu yang asing kepada pihak industri. IPP milik TNB seperti Kapar Energy Ventures Sdn Bhd dan TNB Janamanjung Sdn Bhd (Janamanjung), mempunyai kapasiti kadar bayaran dikaji semula dan dikurangkan untuk menggambarkan kos projek sebenar yang lebih rendah.

Difahamkan bahawa dalam kes TNB Janamanjung, pengurangan ini hampir separuh daripada kasar asal. Tiada alasan mengapa perkara yang sama tidak boleh dilanjutkan kepada IPP lain.

Kos IPP sebabkan tarif tinggi

Bayaran IPP dikaitkan kepada kenaikan tarif elektrik. Bayaran kepada IPP merupakan lebih daripada 50 peratus daripada kos TNB dan ini diramalkan mencapai RM12 bilion pada 2009. Ia hanya logik bahawa bayaran IPP akan memainkan peranan signifikan dalam sebarang penentuan tarif elektrik untuk pelanggan Malaysia.

Penentuan mudah tarif elektrik boleh dijelaskan seperti berikut:

Tarif Akhir = Tarif Asas + Pelarasan Bahan Api

- Pelarasan bahan api akan ditangani melalui cadangan bahan api dipindahkan melalui formula dalam tarif;
- Tarif Asas antara lain terdiri daripada perkara berikut: Kos menaja jamin IPP oleh TNB, kos tetap dan berubah-ubah yang ditanggung oleh TNB dalam mengendalikan perniagaan penjanaan, penghantaran dan pengedaran, dan juga, kos pembiayaan, cukai dan sebagainya.

Usaha untuk memperbaiki prestasi dan merendahkan kos penyelenggaraan dan operasi telah diambil alih oleh TNB dan ini telah menghasilkan dalam penjimatan kos yang signifikan. Bagaimanapun, jumlah simpanan yang boleh dicapai melalui cara ini adalah terhad.

Satu lagi perkara yang perlu disebutkan di sini ialah kadar pulangan kepada TNB adalah rendah dan dikawal oleh kerajaan.

Oleh itu, hanya bidang tertentu yang masih belum diterokai dalam usaha mengurangkan kos IPP. Memandangkan kos IPP melibatkan sebahagian besar kos, sebarang pengurangan akan mempunyai kesan positif ke atas tarif elektrik.

'Kajian semula secara holistik'

IPP telah meminta Kerajaan menubuhkan pasaran elektrik supaya tarif boleh menggambarkan harga bidaan kumpulan elektrik. Malah IPP juga telah menyatakan bahawa mereka mahukan kapasiti pembayaran mereka tidak terjejas. Perkara ini tidak munasabah.

Mempunyai kapasiti pembayaran yang “tidak terjejas” dalam persekitaran pasaran akan hanya memberikan IPP lebih peluang untuk meningkatkan keuntungan mereka. Tambahan lagi, IPP dengan bahagian pasaran yang besar boleh menguasai pasaran dan menyebabkan harga dikekalkan pada peringkat yang lebih tinggi.

Elektrik tidak sama dengan bahan komoditi lain. Ia tidak boleh disimpan dan mestilah dihasilkan dengan segera. Ketidakserasian dalam permintaan dan bekalan boleh memberikan kesan kepada sistem keselamatan yang membawa kepada kemalapan atau malah terputus bekalan elektrik.

Struktur pasaran di seluruh dunia telah membuktikan persaingan membawa kepada harga yang lebih rendah, peserta pasaran akan terlibat dalam memaksimumkan keuntungan yang menyebabkan harga meningkat. Kemelesetan kewangan hari ini adalah contoh jelas terhadap apa yang boleh berlaku jika ketamakan dibiarkan berleluasa.

Gesaan IPP supaya "mengkaji semula industri tenaga secara holistik" yang sukar dan memakan masa itu telah digunakan sekali lagi sebagai taktik untuk menangguhkan sebarang langkah bagi mengurangkan keuntungan PPA dan menyalurkan keuntungan itu kembali kepada pembekal industri elektrik.

Kelewatan ini juga bermakna IPP akan terus mengambil kesempatan daripada pulangan tinggi semasa yang diperolehi mereka pada masa kini. Tarif elektrik akan terus meningkat dan pelanggan elektrik akan menderita sekalipun usaha terbaik TNB untuk menguruskan kosnya.

Perubahan struktur tidak akan berjaya dalam mengurangkan beban kepada pelanggan jika alasan bagi bayaran berlebihan kepada IPP tidak ditangani.

Bayaran kepada IPP tidak mapan

Dalam persekitaran semasa sewaktu negara sedang berdepan dengan krisis kewangan dan pengguna Malaysia sedang berdepan dengan peningkatan ketara dalam kos kehidupan, bayaran lumayan kepada IPP adalah tidak mapan.

Tambahan lagi, semua peserta industri lain telah memainkan peranannya contohnya Petronas melalui subsidi gas; TNB melalui penyerapan kos yang tinggi; dan pelanggan melalui tarif yang tinggi.

Hanya satu yang tinggal iaitu IPP yang sebahagian besarnya terus tidak terusik dan terus mengaut keuntungan besar malah apabila pihak industri berdepan masalah akibat kenaikan kos bekalan.

Kerajaan dalam semua kebijaksanaannya tidak meminta IPP untuk “memulangkan” keuntungan lumayan mereka yang diperolehi mereka sebelum ini.

Rundingan semula PPA ialah untuk melihat ke depan dan untuk mengkaji semula pulangan yang akan dibenarkan kepada IPP pada masa depan, mengenal pasti keperluan untuk membantu orang ramai pada masa sukar ini.

Elektrik adalah keperluan dan keuntungan berlebihan daripada komoditi penting ini seharusnya tidak dibenarkan hingga menjejaskan kualiti kehidupan rakyat Malaysia.

Dalam satu kenyataan yang dibuat pada Januari 2009, presiden TNB dan ketua pegawai eksekutif Datuk Seri Che Khaleb Mohamad Noh dipetik sebagai berkata tenaga dan kapasiti pembayaran kepada pengeluar tenaga bebas pada 2009 dijangka meningkat kepada RM12 bilion dan rundingan semula PPA merupakan salah satu cara untuk mengurangkan tarif.

Sehubungan itu, CAP menggesa kerajaan supaya mengkaji dan merunding semula PPA sebagai ganti menaikkan tarif elektrik.








11 Disember 2009

Pengarah Urusan Tuntut Hampir RM1 Juta Daripada Bekas Tunang

SHAH ALAM: Kes seorang pengarah urusan menuntut ganti rugi hampir RM1 juta daripada bekas tunangnya, seorang pegawai bank yang kini telahpun bernikah dengan lelaki lain disebut di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, semalam.

Plaintif, Mohamad Fahizul Khairi, 53, memohon tuntutan terhadap defendan Nor Daliya Mohd Daud, 34, untuk membayar gantirugi kewangan akibat putus tunang sebanyak RM871,186.57 dan gantirugi keaiban sebanyak RM100,000 di bawah Seksyen 15 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 pada 8 Mei lalu.

Mohamad Fahizul Khairi ketika hadir ke Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam semalam. -foto The Star oleh SHAARI CHE MAT

Difahamkan, gantirugi kewangan itu melibatkan RM570,000 jumlah pembiayaan yang ditanggung oleh Fahizul, RM208,594 (kos-kos pengubahsuaian serta barang-barang rumah lain), RM15,500 (kos ejen hartanah), RM20,000 (bayaran muka bagi pembelian kereta baru Honda Civic defendan) dan RM57,092.57 (bayaran-bayaran yang dibuat ke dalam akaun Maybank dan akaun kad kredit Citibank defendan).

Nor Daliya Mohd Daud hadir ditemani suaminya di mahkamah pada semalam.

Sementara gantirugi keaiban melibatkan aspek memalukan Fahizul di khalayak ahli-ahli keluarga dan kawan-kawannya.

Disebabkan pengaruh dan tipudaya Daliya, Fahizul telah mengalami masalah dengan ramai ahli keluarganya termasuklah isterinya, Siti Zabiha.

Turut hadir ke mahkamah adalah bekas suami Daliya, Herman Syah Abdul Rahim (kanan) untuk memberikan sokongan kepada Fahizul.

Hakim Syarie Mohamad Adib Husain memutuskan keputusan kes ini akan diketahui pada 1 Februari 2010.

Ini kerana pihak Daliya telah mengemukakan bantahan awal terhadap permohonan Fahizul.

"Defendan (Daliya) menegaskan duit yang dibiayai oleh anak guam saya (Fahizul) tidak termasuk dalam pertunangan sebaliknya 'sekadar hadiah proses memikat', jadi sebab itu dia membuat bantahan awal.

"Disebabkan pemberian itu diberi sebelum mereka bertunang, jadi anak guam saya tak boleh membuat tuntutan itu," kata peguam Azmi Rais mewakili Fahizul.

Sementara itu, peguam Mohamad Isa Abd Ralip yang mewakili Daliya berkata, beliau akan menyarankan Fahizul dan Daliya untuk berbincang di luar mahkamah.

"Kes ini boleh dibincang lagi sebab perkara ini berada di luar bidang kuasa Mahkamah Syariah. Selebihnya bergantung kepada keputusan mahkamah," ujarnya di luar dewan mahkamah.

Daliya hadir ke mahkamah sambil ditemani suaminya manakala Fahizul pula hadir bersama bekas suami Daliya, Herman Syah Abdul Rahim.

Daliya pernah berkahwin dan mempunyai dua orang anak iaitu Danish Iskandar Syah Herman Syah dan Atia Yasmin Herman Syah sebelum bertunang dengan Fahizul pada 6 Disember 2007 di Pekan, Pahang.

Daliya telah disahkan bercerai dengan Herman Syah Abdul Rahim pada 9 Januari 2007.

Setelah Fahizul dan Daliya merancang untuk bertunang pada April 2007, wanita itu telah meminta Fahizul membeli sebuah rumah sebagai tempat tinggal mereka selepas berkahwin kelak.

Pada 3 April 2007, Fahizul telah membeli sebuah rumah jenis teres dua setengah tingkat di Bandar Utama, Petaling Jaya atas nama bakal isterinya itu untuk dijadikan tempat tinggal mereka bersama anak-anaknya.

Fahizul menjelaskan, mereka sering bergaduh sepanjang tempoh pertunangan berpunca daripada sikap Daliya yang curang dan melakukan perbuatan yang tidak bermoral.

Pada 21 April 2008, Daliya telah bersetuju untuk memutuskan pertunangan setelah perbincangan kedua-duanya dan turut disertai oleh ahli keluarga kedua-dua belah pihak. Kemudian, kedua-duanya bersetuju supaya memulangkan segala pemberian berkaitan pertunangan itu.

08 Disember 2009

Lagi tunjuk perasaan di Teheran



RIBUAN penunjuk perasaan berhimpun di Universiti Teheran di Teheran, Iran semalam.


TEHERAN - Anggota-anggota keselamatan Iran dan militia prokerajaan bertempur dengan sejumlah penunjuk perasaan yang melaungkan kata-kata seperti 'mati diktator' di luar Universiti Teheran di sini semalam, kata beberapa saksi.

Menurut mereka, pasukan keselamatan memukul lelaki dan wanita dengan belantan dan menyembur gas pemedih mata kepada penunjuk perasaan.

Beribu-ribu penunjuk perasaan yang berkumpul di jalan raya di luar kampus universiti itu turut menyokong pelajar-pelajar Universiti Teheran yang melakukan tunjuk perasaan tersebut.

Desakan bagi mengadakan demonstrasi itu telah diuar-uarkan di dalam kebanyakan laman web yang menyokong pemimpin penentang Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad iaitu Mir Hossein Mousavi dan Mahdi Karroubi yang menentangnya pada pilihan raya presiden pada 12 Jun lalu.

Walaupun kebanyakan laman web itu telah disekat oleh pihak pemerintah beberapa kali, aktivis-aktivis politik tetap berusaha mencipta laman web baru.

Pelajar-pelajar di Universiti Teheran memainkan peranan penting dalam tunjuk perasaan bagi menyokong Revolusi Islam yang berjaya menggulingkan pemerintahan Shah Iran dan menyebabkan ulama berkuasa di Iran.

Namun sejak sedekad lalu, universiti-universiti menjadi kubu kuat penentang propembaharuan yang mahu penguasaan ulama dikurangkan dalam politik negara tersebut. - AP


Sebagai orang luar, kita tidak tahu, apa yang sebenarnya dihadapi oleh negara Iran ini, apakah orang disana benar-benar sudah bosan dengan kepimpinan ulamak, atau mereka sudah termakan hasutan Amerika demi menjatuhkan Iran ?

Kalau benar mereka sudah bosan dengan kepimpinan Ulamak, apakah sebabnya ? munkin Ulamak disana banyak yang sudah jadi ular dalam semak ?


acah aje.......

Hari ini lahirlah satu lagi blog ke dunia, entah anak yang keberapa, matlamatnya adalah untuk memperkatakan apa juga yang difikirkan patut oleh penulisnya.

Penulisnya bertekad untuk menulis berdasarkan kebenaran, maka penulis tidak akan bertolak ansur terhadap sesiapa pun, jika penulis merasakan bahawa orang tersebut telah menyeleweng dari kebenaran.

Penulis akan menyentuh pelbagai perkara yang sering berlegar di dunia ini, tidak kira samada politik atau apa saja..................