SIS mendakwa tuduhan yang dibuat itu tidak berasas dan amat bercanggah dengan "prinsip keadilan, kesaksamaan dan kebebasan bersuara yang mendokong ajaran agama Islam kita sendiri."
"Amat malang sekali apabila tuduhan sedemikian dibuat oleh pihak berkuasa agama negeri yang sepatutnya memainkan peranan mendidik, membantu menyelesaikan masalah dan bersedia mendengar aduan dan kebimbangan dari kalangan masyarakat Islam," katajurucakap SIS, Rashidah Abdullah.
"Apalagi, ia berlaku pada masa Malaysia serta keseluruhan dunia Islam sedang diberi imej negatif sebagai tempat di mana bertapaknya keganasan dan sikap tidak bertoleransi keagamaan.
"Sikap sedemikian menguatkan lagi prasangka terhadap Malaysia dan umat Islam umumnya," tegas Rashidahdalam satu kenyataan hari in.
Menurutnya, SIS percaya bahawa kesedaran kerohanian dan pendidikan moral adalah senjata paling berkesan untuk membanteras gejala sosial di kalangan masyarakat, dan bukannya hanya melalui hukuman.
"Islam mengajar kita supaya mengasihi sesama manusia dan tidak menggalakkan sikap tergopoh-gapah dan keghairahan hendak menghukum orang lain. Sifat Allah SWT sendiri adalah Maha Penyayang dan Maha Mengasihani, dan ini ditekankan didalam al-Qur'an.
"Adakah menghina Islam untuk menekankan sifat Allah SWT yang ar-Rahman dan ar-Rahim, dan Sunnah Rasulullah SAW yang lebih cenderung untuk mengelak daripada mengenakan hukuman?
"Adakah menghina Islam untuk mengingatkan umat Islam bahawa di sebalik ayat-ayat Qur'an yang menyebut mengenai hukuman, misalnya bagi kesalahan zina dan qazaf dalam Surah an-Nur (ayat 2-4), serta juga kesalahan mencuri dalam Surah al-Maa'idah (ayat 38), diikuti pula dengan ayat mengenai pengampunan bagi mereka yang bertaubat Surah an-Nur (ayat 5); Surah al-Maaidah (ayat 39) kerana Allah SWT Maha Pengampun (al-Ghafur) lagi Maha Mengasihani (al-Rahim)," katanya.
Pihak SIS, tegas beliau, tidak pernah menghina Islam, "malah kami telah banyak menyumbang kepada usaha meningkat dan memperbaiki imej Islam dan umatnya di Malaysia dan di seberang laut."
"Latar belakang kerjaya dan kegiatan-kegiatan lampau pihak SIS sebagai penulis dan aktivis yang telah mempertahankan imej Islam dan kepentingan umat Islam di seluruh dunia telah sengaja
diketepikan terus," tambahnya.
Rashidah berkata, penulisan dan kegiatan SIS adalah sebahagian daripada daya usaha mencari penyelesaian kepada cabaran-cabaran masakini.
SIS, tambahnya, telah memilih untuk berbuat demikian dalam rangkakerja Islam kerana SIS percaya bahawa Islam berupaya menyediakan penyelesaian kepada masalah dan kelemahan masyarakat kita untuk kebaikan umat Islam sendiri.
"SIS telah berusaha membina jambatan persefahaman supaya Islam dapat lebih difahami oleh orang Islam dan yang bukan Islam. SIS sentiasa juga mengecam prasangka negatif yang ditunjukkan dan ditujukan dengan lantang kepada Islam dan umatnya tanpa teragak-agak.
"Sebagai pakar dalam pelbagai bidang dan disiplin, termasuklah sains politik, agama, sejarah, sosiologi, undang-undang, hal-ehwal wanita, kewartawanan dan lain-lain, pihak SIS berasa bahawa adalah menjadi hak dan tanggungjawab kami untuk menyumbang kepada pembangunan ilmu dan kefahaman Islam di negara ini, selaras dengan prinsip keadilan, kesaksamaan dan belas kasihan dalam ajaran Islam.
"Inilah sebab mengapa SIS memandang serius tuduhan tersebut yang tidak wajar dan mahu membisukan suara dan menafikan kepada kami hak penyertaan dalam kehidupan sosial dan budaya Islam," tambahnya.
Katanya, dalam keadaan di mana agama Islam semakin berpengaruh membentuk semula corak kehidupan dan
masyarakat di Malaysia, undang-undang serta polisi awamnya, maka usaha untuk menyisihkan mereka yang berpandangan berbeza dan kritikal dalam perbahasan isu-isu mengenai Islam di Malaysia pada hari ini, merupakan pencabulan hak-hak asasi warganegara demokratik.
"Ia juga merupakan pencabulan terhadap prinsip yang dihargai dalam tradisi Islam mengenai perbezaan pendapat (ikhtilaf) di kalangan pelbagai mazhab dan para ulama atau sarjana Islam.
"Supaya Islam menjadi relevan dan lebih difahami oleh rakyat Malaysia, maka semua pihak mestilah berhak mengambil bahagian dalam mentakrifkan apakah maksud ajaran Islam kepada kita semua sebagai warganegara dalam masyarakat berbilang kaum dan agama.
"Kebebasan bersuara adalah nilai sejagat yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan, Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat dan ditegaskan dalam ajaran Islam," katanya.